News Coverage

News Coverage

Dewan Negara: LPB Sarawak 99 peratus siap

TV Sarawak, 3 September 2025

Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang merangkumi jajaran sepanjang 786 kilometer (km) kini telah mencapai kemajuan sebanyak 99 peratus setakat Julai 2025, Dewan Negara dimaklumkan hari ini. Foto fail Fiqri Razak (TVS)

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang merangkumi jajaran sepanjang 786 kilometer (km) kini telah mencapai kemajuan sebanyak 99 peratus setakat Julai 2025, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada keseluruhan 11 pakej kerja, sembilan siap sepenuhnya dan telah dibuka secara berperingkat kepada pengguna.

“Projek ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20.3 bilion dan dibiayai secara hibrid melalui peruntukan pembangunan dan terbitan sukuk oleh DanaInfra Nasional Berhad.

“Pendekatan ini membolehkan projek dilaksanakan secara berperingkat tanpa memberi tekanan besar terhadap fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai kemungkinan pemasangan lampu jalan di sepanjang LPB Sarawak bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Bagi memastikan keselamatan pengguna berada pada tahap tertinggi, Ahmad berkata sebanyak 10,039 unit lampu jalan telah dipasang di lokasi strategik seperti pusingan P (P-turn), simpang utama, jejambat dan kawasan berpenduduk padat.

Namun begitu, beliau turut menjelaskan bahawa jumlah ideal lampu jalan mengikut standard Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah satu batang setiap 30 meter bersamaan 52,400 batang lampu bagi keseluruhan jajaran dua hala.

Namun setakat ini, hanya sekitar 19 peratus telah dipasang.

“Jika kita mahu pasang kesemua menggunakan lampu solar, ia memerlukan anggaran RM524 juta. Buat masa ini, kerajaan belum mempunyai peruntukan mencukupi untuk pelaksanaan sepenuhnya,” tambah beliau.

Ujarnya, sebagai alternatif, kawasan tanpa lampu jalan kini dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan seperti pemantul cahaya dan penghadang jalan.

Berkenaan aspek kemudahan pula, Ahmad memaklumkan dua kawasan rehat dan rawat (R&R) telah siap dan satu lagi dalam perancangan, manakala tiga hentian sebelah telah dibina dan dua lagi dalam perancangan.

“R&R ketiga telah dibuka kepada pihak swasta untuk pelaksanaan, namun belum ada syarikat yang tampil, mungkin disebabkan lokasi yang kurang berpotensi dari segi nilai ekonomi,” ujar beliau.

Mengulas isu laluan pusingan, beliau menjelaskan bahawa penggunaan P-turn adalah lebih selamat berbanding lampu isyarat atau simpang kanan memandangkan kelajuan kenderaan di lebuh raya mencecah 90 hingga 100 km/jam.

“Sebanyak 202 P-turn telah dibina dan dua lagi akan ditambah dalam Rolling Plan 1 RMK13 iaitu di Pekan Jakar, Sarikei dan di laluan Jalan Merudu-Jalan Meruton,” jelasnya lagi. – TVS

 

(Web Source: https://www.tvsarawak.my/2025/09/03/dewan-negara-lpb-sarawak-99-peratus-siap/)