News Coverage

News Coverage

Kerajaan terbit sukuk biayai projek MRT

Berita Harian, 4 July 2012

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menerbitkan sukuk jaminan kerajaan bernilai RM8 bilion sebagai tranche pertama pembiayaan landasan Sungai Buloh-Kajang (SBK Blue Line) projek MyRapid Transit (MRT) yang dianggarkan bernilai lebih RM30 bilion.

Terbitan itu dibuat melalui DanaInfra Nasional Bhd, sebuah unit Kementerian Kewangan Diperbadankan yang diberikan mandat sebagai jentera pembiayaan khas untuk mempermudah usaha mengumpul dana bagi projek MRT itu. Pegawai Utama, Fazlur Rahman Ebrahim, berkata tarikh sasaran bagi terbitan sulung itu ialah 20 Julai, 2012 manakala pengumpulan bida dijangka diadakan dalam minggu bermula 9 Julai.

"Terbitan pertama berkemungkinan dalam bentuk Nota Jangka Sederhana Islam berjumlah RM2.4 bilion dengan tempoh matang disasarkan selama 10, 12, dan 15 tahun.

"Daripada RM2.4 bilion itu, RM1 bilion bagi pinjaman penyambung manakala baki RM1.4 bilion adalah bagi projek itu. Kami bercadang menerbitkannya setiap suku tahun, dan RM8 bilion itu dijangka habis digunakan sepenuhnya menjelang 30 Jun, 2013," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani Perjanjian Program Kertas Komersial Islam/Nota Jangka Sederhana Islam di sini hari ini.

Upacara itu disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. DanaInfra melantik empat bank sebagai pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program pembiayaan sukuk RM8 bilion itu, iaitu AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

Jentera pembiayaan khas itu juga melantik lima bank lain sebagai pengurus utama bersama program pembiayaan itu iaitu Affin Investment Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd, HSBC Bank Bhd dan Standard Chartered Bank Bhd.

Fazlur berkata, DanaInfra sudah menyediakan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi projek MRT itu dan sokongan yang diberikan oleh bakal pelabur amat menggalakkan.

"Ini jelas menunjukkan sokongan bagi projek prasarana mega itu," katanya.

Hingga kini, 33 pakej kerja bernilai RM15.5 bilion daripada 85 pakej sudah diagihkan bagi SBK Blue Line, dari Sungai Buloh, merentasi Bandaraya Kuala Lumpur menuju ke Kajang dan meliputi jarak sepanjang 51 kilometer melalui 31 stesen.

Pakej yang diagihkan itu termasuklah pakej kerja yang besar-besar seperti jejambat, stesen dan pakej bawah tanah.

"Kos sebenar landasan MRT Sungai Buloh-Kajang itu hanya boleh ditentukan selepas semua pakej tender diagihkan yang dijangkakan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Fazlur berkata, oleh kerana tranche pertama hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan projek hingga pertengahan tahun depan, DanaInfra mempunyai pilihan memperbesar program pembiayaan sekarang untuk menanggung kos keseluruhan projek SBK Blue Line.

"Mungkin tiada pemeteraian perjanjian berasingan. Kami boleh perbesarkan kapasiti dengan struktur dan rakan kongsi sedia ada, melainkan kerajaan memutuskan sebaliknya.

"Bagaimanapun, DanaInfra sedang mengkaji pelbagai cara mengumpul dana bagi keperluan pembiayaan projek MRT yang selebihnya dan akan membuat pengumuman yang sewajarnya dari semasa ke semasa," katanya. – BERNAMA