News Coverage

News Coverage

DanaInfra Buat Pembayaran Untung Pertama Untuk Sukuk Runcit DanaInfra Pada 13 Ogos

Bernama, 23 July 2013

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- DanaInfra Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, akan membuat pembayaran keuntungan pertama sukuk runcit DanaInfra kepada pelabur pada 13 Ogos.

Menurut kenyataan hari ini, DanaInfra berkata kelayakan yang ditetapkan ialah pada empat peratus setahun untuk tempoh 8 Feb hingga 12 Ogos tahun ini.

"Kami bangga kerana DanaInfra akan membuat pembayaran keuntungan pertama kepada pelabur runcit yang telah menyokong pembiayaan projek MRT dengan melanggan Sukuk Runcit DanaInfra," kata Pengerusi DanaInfra Datuk Mat Noor Nawi.

"DanaInfra akan melakukan terbitan Sukuk Runcit masa depan dan kami berharap mendapatkan lebih banyak minat daripada pelabur runcit untuk melanggan," katanya.

Sukuk Runcit DanaInfra ialah Sukuk dan Bon Dagangan Bursa (ETBS) pertama yang dikeluarkan oleh syarikat itu pada 8 Feb 2013 sempena pelancaran ETBS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terbitan sulung sehingga RM300 juta yang ditawarkan kepada orang awam itu untuk pelabur runcit dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

DanaInfra juga menyenaraikan RM300 juta Sukuk Runcit DanaInfra ke atas Pinjaman dan Bon di Papan Bursa Malaysia.

Sukuk Runcit DanaInfra merupakan sebahagian daripada Sukuk RM1.5 bilion yang diterbitkan oleh DanaInfra menerusi Program IMTN siri kedua untuk membiayai projek Mass Rapid Transit Sungai Buloh-Kajang.

DanaInfra ditubuhkan sebagai jentera Pembiayaan Khas Kerajaan untuk sumber dana bagi membiayai projek-projek infrastruktur oleh Kerajaan, dan Projek MRT merupakan projek pertama yang dibiayai oleh DanaInfra.

-- BERNAMA

Web Source: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=965590