News Coverage
DanaInfra Mula Biayai Sehingga Rm50 Bilion Laluan 1 & 2 MRT
Bernama, 26 October 2015
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- DanaInfra Nasional Bhd (DanaInfra) akan memulakan program pembiayaan bersepadu sehingga RM50 bilion Laluan 1 Projek Transit Rapid Massa Sungai Buloh-Kajang (MRT-SBK) dan Laluan 2 Projek MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT-SSP).
DanaInfra adalah kenderaan tujuan khas kerajaan yang ditubuh bagi memudahkan pembiayaan projek infrastruktur besar yang dilaksana kerajaan.
Dalam satu kenyatan pada Isnin, DanaInfra berkata, setakat ini kumpulan itu telah mengumpul sehingga RM17.6 bilion untuk membiayai pembinaan Laluan 1 MRT.
"Ia akan menggunakan dana dikumpul daripada program pembiayaan RM50.0 bilion untuk baki Laluan 1 MRT dan Laluan 2 MRT," kata kumpulan itu.
Anggaran kos projek untuk Laluan 2 MRT ialah RM42.0 bilion.
Program pembiayaan adalah dalam bentuk Kertas Komersil Islam atau Nota Jangka Sederhana Islam dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk program pembiayaan ini.
Affin Hwang Investment Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd dan HSBC Bank Bhd adalah pengurus utama bersama.
Pembinaan Laluan 2 MRT akan bermula pada 2016 dan dijangka siap pada 2022 sepanjang 52.2 kilometer dan 36 stesen, ia akan mampu menampung 529,000 penumpang sehari.
-- BERNAMA
(Web source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1183621)
