News Coverage
DanaInfra sasar pulangan sukuk lebih 3.7 peratus
Utusan, 8 January 2013
KUALA LUMPUR 8 Jan. - DanaInfra Nasional Bhd. (DanaInfra) menyasarkan kadar pulangan lebih tinggi kepada pelabur-pelabur runcit dan institusi bagi Bon dan sukuk perdagangan bursa (ETBS) di Bursa Malaysia.
DanaInfra merancang untuk menerbitkan keseluruhan sukuk berjumlah RM8 bilion dan RM2.4 bilion daripadanya telah pun diterbitkan (bukan melalui ETBS).
Sebelum ini, kadar pulangan minimum (kadar kupon) yang ditetapkan DanaInfra bagi terbitan sukuk DanaInfra (runcit dan institusi) adalah 3.7 peratus daripada jumlah pelaburan pelabur.
Ketua Pegawai Operasi DanaInfra, Datuk Kamal Mohd. Ali berkata, pihaknya akan menentukan kadar pulangan itu selepas tarikh tutup tawaran terbitan sukuk DanaInfra kepada pelabur institusi pada akhir bulan ini.
Manakala tempoh tawaran kepada pelabur runcit bermula dari 8 Januari sehingga 18 Januari 2013.
Kata Kamal yang juga Ketua Pegawai Operasi Prokhas Sdn. Bhd., pihaknya menjangkakan kadar pulangan itu melebihi 3.7 peratus.
"Kami akan menilai kadar pulangan itu secara dua kali setahun dan menjangkakan kadar pulangan itu jauh lebih tinggi daripada yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran sukuk runcit ETBS oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Terbitan sukuk runcit DanaInfra mempunyai tempoh matang selama 10 tahun.
Bagi peringkat permulaan, syarikat merancang untuk menerbitkan sukuk bernilai RM1.5 bilion dengan RM300 juta diperuntukan kepada pelabur runcit dan ia akan diterbitkan pada 8 Februari ini melalui ETBS.
Danainfra telah melantik empat bank sebagai Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama iaitu AmInvestment Bank Bhd., CIMB Investment Bank Bhd., Maybank Investment Bank Bhd., dan RHB Investment Bank Bhd. bagi Program Pembiayaan Sukuk Dijamin Kerajaan.
Sementara itu, Tajudin memberitahu, pihaknya berharap lebih banyak sukuk dan bon diterbitkan melalui ETBS pada tahun ini.
Katanya, buat masa ini, DanaInfra merupakan penerbit sulung sukuk melalui ETBS.
(Web Source: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130109/ko_01/DanaInfra-sasar-pulangan-sukuk-lebih-37-peratus#ixzz2HR8J4A2U)
