News Coverage

News Coverage

DanaInfra senarai RM300 juta ETBS di Bursa Malaysia

Bernama, 8 Februari 2013

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) - DanaInfra Nasional Bhd (DanaInfra) menyenaraikan Bon Dagangan dan Sukuk (ETBS) atau Sukuk Runcit DanaInfra bernilai RM300 juta di Papan Pinjaman dan Bon Bursa Malaysia hari ini. Penyenaraian sukuk runcit DanaInfra menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Perantara Pembiayaan Khas (SFV) dalam proses mengumpul dana bagi projek MRT, menjadi penerbit pertama di negara ini menerbitkan Sukuk Runcit yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

ETBS dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 8 Januari dengan penerbitan sulung sehingga RM300 juta ditawarkan kepada orang awam. DanaInfra, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, juga telah menerbitkan sukuk sebanyak RM1.2 bilion di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (Program IMTN) kepada pelabur institusi pada hari yang sama.

Dalam satu kenyataan hari ini, DanaInfra berkata Sukuk Runcit telah terlebih langganan sebanyak 1.61 kali dengan 1,424 permohonan mewakili RM484 juta dalam nilai. Sementara itu, proses membida saham pada harga tinggi bagi penawaran institusi di kaunter dimuktamadkan pada 30 Jan, 2013 dengan RM1.2 bilion bahagian sukuk terlebih langgan sebanyak 2.25 kali. Ia menerbitkan empat sukuk tranche kepada pelabur institusi dengan hasil 10 tahun pada 3.76 peratus setahun, 12 tahun pada 3.96 peratus setahun, 15 tahun pada 4.17 peratus setahun dan 20 tahun pada 4.38 peratus setahun.

Sukuk Runcit merupakan sebahagian daripada sukuk bernilai RM1.5 bilion yang diterbitkan DanaInfra bawah program IMTN siri kedua untuk membiayai laluan Projek MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT-SBK). DanaInfra ditubuhkan sebagai SPV bagi kerajaan Malaysia untuk mendapatkan sumber dana bagi membiayai projek-projek infrastruktur oleh kerajaan dan projek MRT merupakan projek pertama yang dibiayai oleh DanaInfra.

Web Source: http://my.news.yahoo.com/danainfra-senarai-rm300-juta-etbs-di-bursa-malaysia-011525814--finance.html