News Coverage
DanaInfra Umum Kadar Keuntungan 4.58 Peratus Untuk Sukuk Runcit Kedua
Bernama, 23 Oct 2013
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- DanaInfra Nasional Bhd hari ini mengumumkan pulangan kadar keuntungan tetap 4.58 peratus setahun bagi sukuk runcit DanaInfra, atau bon dan sukuk dagangan bursa (ETBS), yang akan dibuka 9 pagi esok.
Tawaran itu akan dibuka selama tiga minggu mulai 15 Nov, 2013, sementara penyenaraian dan permulaan dagangan pada 29 Nov, 2013, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata sukuk itu ditawarkan dengan nilai nominal sehingga RM100 juta dan selama 15 tahun.
Pelabur memerlukan minimum RM1,000 sebagai modal untuk mula melabur pada peringkat tawaran awam awal.
"Tawaran ini memberi peluang kepada orang ramai untuk melabur dalam sukuk yang dijamin kerajaan dengan tempoh yang lebih panjang pada perolehan yang lebih tinggi," katanya sambil menambah keuntungan itu akan dibayar kepada pelabur pada asas setengah tahun.
Sukuk runcit mematuhi syariah itu ditawarkan kepada orang awam dan pelabur runcit yang mahu melabur dalam ETBS dan mengambil bahagian dalam pembiayaan pembangunan prasarana utama negara iaitu projek MRT.
Ia adalah sebahagian daripada program nota jangka sederhana Islam Siri ke-3 DanaInfra untuk membiayai MRT Sungai Buloh-Kajang.
DanaInfra, syarikat milik penuh Minister of Finance Incorporated ditubuhkan untuk membantu pembiayaan projek prasarana besar yang dilaksanakan kerajaan dan projek MRT adalah projek pertama yang akan dibiayai.
