News Coverage
Kerajaan Malaysia terajui terbitan bon sebanyak RM40 bilion pada 2Q 2025
Dagang News, 2 July 2025

KUALA LUMPUR 2 Julai (Bernama) - Kerajaan Malaysia muncul sebagai penerbit bon utama keseluruhan dalam laporan Bond League Tables oleh Bond Pricing Agency Malaysia Sdn Bhd (BPAM) bagi suku kedua 2025 (2Q 2025), dengan jumlah terbitan sebanyak RM40 bilion.
Kerajaan juga menerbitkan bon paling aktif diperdagangkan sepanjang suku tersebut, dengan nilai RM475.11 bilion, menurut kenyataan BPAM hari ini.
Dalam sektor korporat, Saracap Ventures Sdn Bhd merupakan penerbit bon korporat utama dengan jumlah terbitan RM1.75 bilion, manakala Cagamas Bhd menerbitkan bon korporat paling aktif diperdagangkan dengan nilai RM1.04 bilion.
Menurut laporan itu, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) muncul sebagai penerbit sukuk utama dengan jumlah RM4.80 bilion pada 2Q 2025, manakala Danainfra Nasional Bhd menerbitkan sukuk paling aktif diperdagangkan bernilai RM9.38 bilion.
Malaysian Trustees Bhd dinamakan sebagai pemegang amanah bon utama keseluruhan, dengan jumlah nilai sebanyak RM20.97 bilion, manakala Pacific Trustees Bhd mendahului dari sei bilangan terbitan, dengan 97 terbitan direkodkan sepanjang suku tersebut.
Selain itu, Malaysian Trustees merupakan pemegang amanah bon konvensional utama mengikut nilai (RM7.23 bilion) dan pemegang amanah sukuk utama mengikut nilai (RM13.74 bilion).
Sementara itu, laporan tersebut turut menyatakan bahawa CIMB Investment Bank Bhd merupakan penyelaras utama keseluruhan, dengan nilai RM12.56 bilion melibatkan 115 terbitan.
"Laporan Bond League Table oleh BPAM merupakan sumber berguna untuk tujuan penyelidikan, pemasaran, promosi dan penjenamaan bagi semua peserta pasaran," tambah kenyataan itu.
BPAM ialah satu-satunya agensi penilaian bon berdaftar yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. – BERNAMA
(Web Source: https://www.dagangnews.com/article/terkini/kerajaan-malaysia-terajui-terbitan-bon-sebanyak-rm40-bilion-pada-2q-2025-53901)
