News Coverage

News Coverage

Penurunan cukai rancakkan pasaran bon, sukuk

Berita Harian, 29 September 2012

Insentif pengurangan cukai yang ditawarkan kepada syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit dan AgroSukuk dijangka merancakkan lagi pasaran bon dan sukuk tempatan, demikian mengikut peserta pasaran.

Dengan mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit memberi peluang kepada pelabur runcit di negara ini mendapat akses kepada pelbagai produk pelaburan baru untuk meningkatkan kekayaan mereka.

Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan, berkata buat pertama kali pelabur runcit di negara ini boleh membabitkan diri dalam dagangan bon dan sukuk di Bursa Malaysia secara langsung sama seperti mereka terbabit dalam dagangan saham.

Beliau berkata dagangan aset kelas baru itu menyediakan pelabur runcit kaedah yang lebih telus dan fleksibel dalam melabur secara langsung dalam pasaran bon dan sukuk.

Dijangka meningkat

Dengan pertumbuhan dagangan bon dan sukuk, kami menjangkakan peningkatan pelabur tradisional asas akan termasuk mereka yang kini tidak berada dalam pasaran serta pelabur runcit serantau melalui ASEAN Trading Link yang menghubungkan Bursa Malaysia dan Bursa Singapura, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.

Tajuddin berkata, pengecualian duti setem bagi dagangan bon dan sukuk runcit juga akan terus merangsang dagangan instrumen itu dengan mewujudkan kecairan yang kukuh.

Beliau berkata, cadangan perbelanjaan tambahan bagi menerbitkan bon dan sukuk runcit dengan diberikan potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015 juga akan menggalakkan terbitan instrumen itu di luar negara.

Bon RM300 juta

Katanya, penerbitan bon runcit bernilai RM300 juta oleh DanaInfra Nasional Bhd pada akhir 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT juga dilihat akan menggalakkan penyenaraian bon dan sukuk di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, berkata usaha kerajaan menggalakkan penyertaan runcit dalam pasaran bon itu akan menambahkan lagi jenis produk simpanan selamat kepada orang ramai.

Beliau berkata pihaknya melihat cadangan terbitan AgroSukuk adalah satu idea yang baik.

(Web Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penurunancukairancakkanpasaranbon_sukuk/Article/)