News Coverage
PM lancar Bon dan Sukuk Dagangan Bursa
Utusan, 8 January 2013
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kelas aset baharu di Bursa Malaysia iaitu Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (ETBS) yang menampilkan DanaInfra Nasional Bhd. (DanaInfra) sebagai penerbit sulungnya.
ETBS telah menjadikan sukuk dan bon boleh dilanggan pertama kali oleh pelabur runcit selain dijamin oleh kerajaan.
Terbitan pertama sukuk DanaInfra adalah pada 8 Februari depan dengan tempoh matang selama 10 tahun.
Najib dalam ucapannya berkata, nilai terbitan peringkat awal bagi sukuk DanaInfra ini adalah RM1.5 bilion manakala RM300 juta daripadanya telah diperuntukkan untuk pelabur runcit.
"Bermula hari ini, banyak peluang pelaburan akan dibuka kepada rakyat dan bon Islam akan didagangkan dengan lebih meluas pada masa akan datang," kata beliau pada majlis pelancaran ETBS di sini hari ini.
Pelaburan sukuk DanaInfra ini menawarkan pulangan yang ditetapkan terlebih dahulu dalam bentuk kupon yang akan dibayar secara berkala.
Pelabur hanya perlu melabur sebanyak RM1,000 pada minimumnya sebagai pelaburan di peringkat awal terbitan dan penyenaraian awam ini. - UTUSAN
(Web source: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130108/ek_08/PM-lancar-Bon-dan-Sukuk-Dagangan-Bursa#ixzz2HR9tZIuy)
